Teras Company – Teraju

Syarikat Duta Jasa Sdn Bhd ditubuhkan pada 16 Julai 1991. Bermula dengan lima pekerja dan menyewa sebuah premis kedai di bandaraya Kuching, syarikat ini bermula dengan menyediakan bekalan bahan binaan elektrik secara kecil-kecilan kepada Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak, SESCO. Pada tahun 1993, syarikat ini berdaftar sebagai vendor pertama syarikat telekomunikasi Celcom bagi perlaksanaan projek stesyen pengkalan radio (Radio Base station, RBS) rangkaian selular. Syarikat ini masih kekal sebagai vendor Celcom sehingga hari ini dengan meluaskan bidang perkhidmatan kejuruteraan kepada penyelenggaraan RBS, janakuasa, rangkaian gelombang mikro dan kabel gentian optik.

Pada tahun 1994, Duta Jasa telah Berjaya berdaftar sebagai vendor Telekom Malaysia (TM) melalui program pembangunan usahawan Bumiputera dalam projek rangkaian tempatan menerusi sistem Jadual Kadar Harga (JKH). Sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, keupayaan syarikat terus dipertingkatkan dengan pelaksanakan rangkaian kabel telekomunikasi kuprum hingga menjadi kontraktor terunggul dalam penyediaan rangkaian kabel gentian optik berjalur lebar (high speed broadband) di negeri Sarawak. Kejayaan ini telah diiktiraf oleh TM dengan penganugerahan antara tiga syarikat JKH terbaik seluruh Malaysia pada tahun 2012. Pada 17 September 2015, Duta Jasa telah dipilih sebagai Rakan Utama TM bagi pelaksanaan rangkaian telekomunikasi di negeri Sarawak untuk tempoh tiga tahun.

Pada tahun 2001, Duta Jasa juga berdaftar sebagai vendor syarikat Celcom Timur Sarawak Sdn Bhd (CTS) yang kemudiannya dikenali sebagai Sacofa Sdn Bhd, bagi pelaksanaan projek rangkaian telekomunikasi kabel gentian optik di negeri Sarawak. Penglibatan syarikat dalam projek Sacofa menyediakan pengalaman memasang kabel dalam persekitaran bekalan kuasa elektrik voltan tinggi.

Bagi menjamin perkhidmatan kejuruteraan yang berkualiti tinggi, Duta Jasa sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja melalui latihan yang berterusan, samada melalui kursus teknologi terkini atau melalui latihan sambil berkerja yang dibimbing dan dipantau oleh staf yang bertauliah. Duta Jasa telah mendapat persijilan ISO 9001:2008 dan 5S melalui SIRIM. Syarikat juga melengkapkan keupayaan kumpulan dengan penyediaan peralatan canggih, fleet kenderaan dan jentera, dan peralatan keselamatan yang mencukupi.

Duta Jasa telah membeli dua unit bangunan pejabat dan dua unit gudang berkembar di bandaraya Kuching untuk keperluan pengurusan pentadbiran dan operasi syarikat serta pengurusan logistik. Bagi memantapkan pengurusan logistic dan operasi, syarikat telah merancang untuk menubuhkan pejabat bersama stor cawangan dalam bandar-bandar utama di Sarawak.
Duta Jasa berjaya menjadi syarikat kontraktor telekomunikasi pertama di negeri Sarawak yang diiktiraf sebagai Syarikat TeRAS di bawah program Teraju. Adalah harapan syarikat supaya pengiktirafan ini menyediakan peluang dan ruang untuk bersaing di peringkat perniagaan yang lebih mencabar. Syarikat sedang berusaha untuk menggunakan pelbagai kemudahan kewangan yang disediakan oleh Teraju bagi tujuan mengembangkan dan pemilikan aset syarikat bumiputera.

Sudah menjadi budaya pihak pengurusan syarikat untuk membawa warga Duta Jasa melancong ke luar atau dalam negara sebagai tanda penghargaan serta untuk meningkatkan semangat semua, bermula Vietnam (2011), Langkawi (2014) dan yang terbaru, Thailand (2015). Seperti kata keramat Pengarah Urusan Duta Jasa, Tuan Haji Narawi Sedi, “Kerja bena…! Dapat untung, kita melancong”. Selain itu syarikat juga menunjukkan penghargaan kepada warga Duta Jasa dengan pemberian bonus setiap tahun dan Anugerah Kesetiaan setiap lima tahun bekerja.

Adalah visi Duta Jasa untuk membentuk sebuah syarikat terulung bagi penyediaan perkhidmatan kejuruteraan berkualiti dan produk telekomunikasi serantau. Visi ini akan dicapai melalui misi jelas untuk pengambilan tenaga kerja yang berkelayakan, berpengalaman dan terlatih, disamping perolehan sistem terbaik dan terkini bagi kegunaan operasi.

Click on the photo to view larger version.

1
2
3
4